Muar, Johor | Isnin, 16 Jun 2025 — Satu pertemuan strategik antara Sekretariat KU HARAKI Malaysia dan pimpinan KU HARAKI Johor telah berlangsung dengan jayanya di Markaz PAS Kawasan Bakri, Muar, Johor. Majlis yang bermula jam 8.00 malam itu dihadiri seramai 42 orang, termasuk 37 wakil dari Johor dan 5 daripada Sekretariat KU HARAKI Malaysia, dengan En. Ammar Firdaus bertindak selaku pengerusi majlis.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah KU HARAKI Johor, Ustaz KamalulNizam Mohd Suhut, yang menyatakan keyakinan terhadap kebangkitan semula gerakan ini di Johor selepas pandemik COVID-19. Menurut beliau, KU HARAKI Johor pernah mencapai lebih 200 ahli aktif satu ketika dahulu dan bersedia untuk mengorak langkah semula.
Turut hadir ialah Tuan Haji Hazrin Abd Hamid, Pengerusi LEPU Johor, yang memberikan sokongan terhadap usaha memperkukuh jaringan ekonomi ummah di negeri tersebut.
Dalam ucapan seterusnya, Haji Muhamad Sobri Osman, wakil KU HARAKI Malaysia, memperkenalkan lima faedah utama menjadi ahli KU HARAKI melalui frasa mudah diingat: “Nanti Tunggu Di Parit Sulung”:
• N – Networking yang luas
• T – Training pembangunan usahawan
• D – Dana usahawan
• P – Promosi produk dan servis
• S – Stock Keeping Unit (SKU)
Beliau menekankan kepentingan memiliki ahli yang ramai bagi membina rangkaian 21 kluster perniagaan yang dikenalpasti. Haji Sobri turut berkongsi konsep perniagaan “一条龙” (yī tiáo lóng) dari budaya perniagaan Cina yang bermaksud “perkhidmatan menyeluruh” — iaitu strategi kawalan keseluruhan proses perniagaan untuk kecekapan maksimum dan daya saing unggul.
Sesi diteruskan dengan taklimat oleh Saudara Ibrahim Mahmud, Penolong Setiausaha KU HARAKI, mengenai acara mega HIMPUNAN SERIBU USAHAWAN (SERU ’25) yang dijadualkan pada 1 hingga 3 Ogos 2025 di Kompleks Shaftsbury, Putrajaya. Program 3 dalam 1 itu merangkumi konvensyen, luncheon, dan pameran, serta bakal menjadi acara kemuncak sempena ulang tahun ke-10 KU HARAKI.
Antara tarikan utama SERU ‘25 ialah sesi From Zero to Hero bersama tiga ikon keusahawanan terkenal:
• Pemilik Emas Anuar (pembayar zakat mencecah RM21 juta),
• Naskeen Coffee (pemilik 43 cawangan dalam masa singkat), dan
•Chef Mustafa, tukang masak peribadi Ratu Elizabeth yang kini menjual daging bernilai lebih RM3,800 sekilogram.
Pameran dengan 100 meja disediakan untuk sesi product branding dan business matching, bertujuan membuka ruang kolaborasi dan perbincangan awal antara usahawan.
Majlis turut menyaksikan demonstrasi pendaftaran keahlian melalui laman web KU HARAKI, yang dikendalikan oleh Dato’ Suhaili. Hasilnya, seramai 10 orang terus mendaftar dan membuat bayaran, manakala Johor memberi komitmen untuk menghantar 50 peserta ke SERU ’25.
Majlis berakhir dengan semangat baru dan azam untuk memperkasa ekonomi ummah melalui sinergi dan kerjasama erat antara negeri dan pusat.
