KOTA BHARU, 5 Jun 2025 — Satu detik bersejarah tercipta buat komuniti keusahawanan di negeri Cik Siti Wan Kembang apabila Majlis Pelancaran KU-HARAKI Kelantan serta Laman Web Rasmi KU-HARAKI Malaysia telah berjaya dilangsungkan dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Seminar DSH Tunjong Event & Banquet Hall, Kota Bharu.
Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam bin Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri Kelantan.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Md Anizam menekankan bahawa walaupun Kelantan tidak memiliki pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa, negeri ini tetap menjadi pusat perniagaan yang dinamik dan berdaya saing. Beliau turut berkongsi contoh kejayaan kilang pengeluaran tong gas di Bachok, yang telah lama beroperasi menggunakan teknologi dari Jepun, dan kini dalam persiapan menyambut kedatangan delegasi “ruwako” dari Osaka, Jepun.
“Kelantan telah melahirkan ramai usahawan berjaya dan terkenal. Bagi merancakkan lagi aktiviti keusahawanan, kerajaan negeri memperuntukkan RM46,000 bagi setiap 45 DUN serta RM16,000 sebagai bantuan modal – dan ini dilaksanakan setiap tahun,” ujar beliau.
KU-HARAKI Kelantan, yang telah didaftarkan secara rasmi pada 15 Januari 2025 (No. Pendaftaran: PPM-016-03-15012025), merupakan cawangan negeri yang menyokong penuh usaha dan aspirasi KU-HARAKI Malaysia. Ia hadir dengan visi untuk menjadi platform utama membina jaringan kukuh dan dinamik di peringkat tempatan serta antarabangsa.
Misi KU-HARAKI menekankan lima perkara utama:
- Mewujudkan rangkaian usahawan yang aktif.
- Menjadi medium komunikasi dan kerjasama sesama usahawan.
- Menyatukan usahawan dan ahli perniagaan.
- Menyediakan peluang kolaborasi dan perkongsian ilmu.
- Memupuk amalan perniagaan berteraskan prinsip muamalat Islam.
Barisan kepimpinan KU-HARAKI Kelantan diterajui oleh:
- Pengarah: Haji Samsudin bin Haji Mat Daud
- Timbalan Pengarah: Hj Jamaludin bin Ishak
- Setiausaha: En Zailani bin May
- Penolong Setiausaha: Zakaria bin Md Diah
- Ahli Jawatankuasa: Hjh Wan Ubaidah bt Omar, Mohd Zaki bin Zakaria, Abdul Fattah bin Jaafar, Fazmi bin Hamat, dan wakil-wakil dari 14 kawasan di seluruh Kelantan.
Majlis ini turut menyaksikan pelancaran rasmi laman web KU-HARAKI Malaysia, yang menjadi sumber maklumat utama mengenai organisasi ini – termasuk sejarah penubuhan, visi, misi, objektif, nilai teras, dan seksyen FAQ yang lengkap.
Laman web ini juga menyediakan borang pendaftaran dalam talian bagi:
- Keahlian KU-HARAKI
- Kehadiran ke Konvensyen KU-HARAKI
- Kehadiran ke majlis Luncheon
- Tempahan ruang Stock Keeping Unit (SKU)
Selain itu, pengunjung boleh mengakses maklumat terkini berkenaan aktiviti, program serta roadshow yang telah dan bakal dilaksanakan sepanjang tahun.
Majlis pelancaran ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak. Urusetia program merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam, En. Suhaimi Embung selaku Ketua Pengarah KU-HARAKI Malaysia, tetamu jemputan serta semua hadirin yang menjayakan majlis yang penuh bermakna ini.
