Ipoh,Perak | Selasa, 8 Julai 2025—Lebih 30 orang usahawan dari seluruh negeri Perak hadir dalam satu sesi penerangan khas bersama pimpinan tertinggi KU HARAKI Malaysia yang diadakan di Pejabat BPPNP, Ipoh malam tadi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah KU HARAKI Malaysia, Tuan Haji Muhamad Sobri, yang memberikan pencerahan tentang manfaat menyertai KU HARAKI sebagai satu rangkaian strategik usahawan Muslim. Beliau menjelaskan bahawa KU HARAKI yang kini berusia 10 tahun telah membina pelbagai pengalaman penting yang menjadi asas membina ekosistem usahawan yang saling menyokong antara satu sama lain.
Menurut beliau, KU HARAKI tidak terlibat dalam perniagaan secara langsung, sebaliknya bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu ahli berjaya dalam perniagaan masing-masing. Dengan penuh semangat, beliau menyampaikan satu frasa menarik iaitu:
“NANTI TUNGGU DI PASIR SALAK”, yang merangkum lima manfaat utama menjadi ahli KU HARAKI:
• N – Networking
• T – Training & Development
• D – Dana
• P – Promotion & Marketing
• S – Showcase produk di Putrajaya
Turut hadir, Dato’ Suhaili Yosop, Setiausaha KU HARAKI Malaysia merangkap Pengarah Program SERU25 – satu program mega gabungan Konvensyen, Luncheon dan Pameran Usahawan yang bakal berlangsung pada 1,2 dan 3 Ogos 2025. Beliau menyeru agar ahli-ahli Perak turut serta dalam himpunan terbesar usahawan Muslim ini. Sebagai tanda komitmen, KU HARAKI Perak menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya satu bas peserta, dan telah menerima 10 buku tiket jualan untuk diagihkan.
📣 Paling membanggakan, sebanyak 11 orang ahli baharu telah mendaftar pada malam tersebut – jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan dalam satu majlis seumpamanya. Tahniah warga Perak!
Majlis turut menyaksikan peralihan kuasa KU HARAKI Perak. Hj Azlan, mantan Pengarah, mengumumkan pengunduran beliau bagi memberi tumpuan kepada tugas lain, manakala Setiausaha lama Ustaz Norhisham Mokhtar turut berundur atas faktor kesihatan. Peralihan kuasa berlangsung dengan penuh harmoni dan ukhuwah.
Barisan kepimpinan baharu KU HARAKI Perak yang diumumkan ialah:
• Pengarah: YH Dato’ Hakim Hamidi
• Timbalan Pengarah: Mohd Azmi Hj Ahmad
• Setiausaha: Shahrul Niizam Abd Ali
• Bendahari: Mohd Kamrul Arifin
• AJK: Akan dilantik dari wakil-wakil daerah seluruh Perak
Dalam ucapan sulungnya, Dato’ Hakim menawarkan kemudahan latihan lengkap dengan chalet dan fasiliti pertanian miliknya untuk dijadikan pusat latihan KU HARAKI Perak.
Majlis berakhir sekitar jam 11 malam, membawa semangat baharu kepada barisan usahawan Perak untuk terus mara bersama KU HARAKI.
