ROADSHOW KUHARAKI NEGERI SEMBILAN MENYUNTIK SEMANGAT USAHAWAN

PERJUMPAAN KU HARAKI MALAYSIA BERSAMA KU HARAKI NEGERI SEMBILAN

  TARIKH  :  21 DISEMBER 2024

  MASA    : 09 MALAM

  TEMPAT  :  MAHAAD DARUL HALIMAH KUALA PILAH

  KEHADIRAN :  24 ORANG

Kuala Pilah, 21 Disember 2024 – Program Roadshow Kelab Usahawan Haraki Malaysia (KUHARAKI) yang berlangsung di Darul Halimah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, telah berjaya menghimpunkan usahawan tempatan dari pelbagai bidang. Program ini, yang bermula pada jam 2.30 petang hingga 5.30 petang, dianjurkan dengan kerjasama KUHARAKI Negeri Sembilan.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah KUHARAKI Malaysia, Tuan Haji Suhaimi Embong, Setiausaha KUHARAKI Malaysia, Dato’ Hajah Suhaili Yosop, dan Pengarah KUHARAKI Negeri Sembilan, Ustaz Haji Fadli.

Dalam sesi perkongsian, para usahawan menyuarakan keperluan untuk meningkatkan pemasaran produk tempatan, mendapatkan pengiktirafan halal, serta bantuan dalam celik digital dan media sosial. Salah seorang usahawan turut menyatakan bahawa produk anti-serangga yang dihasilkan boleh dikembangkan ke seluruh negara di bawah jenama Abraaj. Cadangan lain termasuklah penyediaan platform lebih bersepadu untuk produk Muslim dan kajian mendalam mengenai cabaran yang dihadapi oleh usahawan Muslim hari ini.

Selain itu, Kompleks Darul Halimah dicadangkan untuk dijadikan “pusat sehenti” bagi produk usahawan sekitar. Ustaz Haji Fadli dalam ucapan beliau mengingatkan tentang pentingnya memperkukuhkan ekonomi umat Islam sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan agama. Beliau memetik firman Allah dalam Surah An-Nisaa’ ayat 29, yang menekankan kepentingan perniagaan yang jujur dan saling menguntungkan. Beliau juga memetik hadis Rasulullah SAW tentang umat Islam yang saling menguatkan, seperti sebuah bangunan yang tersusun rapi.

Pengarah KUHARAKI Malaysia, Tuan Haji Suhaimi Embong, turut merakamkan penghargaan kepada semua usahawan yang hadir dan menyokong cadangan-cadangan yang dilontarkan. Beliau berharap usaha seperti ini dapat memperkukuhkan jaringan antara usahawan dan memberi manfaat kepada komuniti tempatan.

Dengan adanya sokongan dan kerjasama dari pelbagai pihak, KUHARAKI menjadi platform penting untuk mendengar suara usahawan dan memperkukuhkan ukhuwah sesama mereka.

KUHARAKI terus komited untuk memperkasakan ekonomi umat Islam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top